FIFA denda Indonesia RM190,000

Oleh Bernama 9 Oktober 2019 5639
FIFA denda Indonesia RM190,000
Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menghormati keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mendenda badan induk itu sebanyak 45,000 Swiss Franc (RM190,000).

Ia susulan kekecohan yang ditimbulkan penyokong Indonesia dalam aksi pertama Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Malaysia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, 5 September lalu. 

Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria, berkata PSSI akan membayar denda tersebut sambil mendedahkan badan induk itu akan menilai semula prosedur keselamatan di venue berkenaan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang.

"PSSI berharap peristiwa pada 5 September lalu akan menjadi kejadian terakhir. Bola sepak seharusnya menyatukan, mempromosikan keragaman budaya dan menyeru sikap saling menghormati,” katanya dalam laman sesawang PSSI: www.pssi.org, hari ini.

Beliau turut menyeru semua pihak berkepentingan dalam bola sepak Indonesia supaya bekerjasama dalam mewujudkan nilai murni dalam sukan berkenaan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini membuat aduan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA susulan tindakan liar penyokong Indonesia yang dikatakan cuba menyerang dan menimbulkan provakasi terhadap pemain serta penyokong Harimau Malaya selepas perlawanan yang menyaksikan Malaysia menewaskan Indonesia 3-2.

-- BERNAMA
 

Tentang Penulis

Bernama

Komen