Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bersedia untuk mengguna pakai pembaharuan dalam sistem perpindahan, termasuk mengenakan sekatan yang lebih ketat ke atas peraturan pinjaman dan menetapkan had bayaran kepada ejen.

Jawatankuasa Pemegang Taruh Bola Sepak, sebuah badan dalam FIFA yang terdiri daripada pelbagai kumpulan wakil bertemu di London Isnin lalu untuk memuktamadkan usul dalam usaha "meningkatkan ketelusan" terhadap transaksi perpindahan.

Walaupun masih belum diluluskan oleh Majlis FIFA, cadangan itu melibatkan usaha mengehadkan bilangan pemain pinjaman yang diperuntukkan kepada setiap kelab serta mengharamkan "perpindahan sementara dan sub-pinjaman".

Langkah itu akan memaksa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Chelsea yang kini mempunyai seramai 40 pemain yang dipinjamkan keluar mengenai keperluan untuk mengubah pendekatan mereka ke atas pembangunan skuad.

Sekatan terhadap pampasan untuk ejen pemain selain kewajipan membabitkan prosedur pendaftaran secara prinsipnya turut dipersetujui.

Presiden FIFA, Gianni Infantino, mengalu-alukan perubahan yang diharapkan itu dengan memberitahu: "Kami telah membawa semua orang duduk semeja dan semua watak utama industri ini memahami bahawa kami perlu mengambil tindakan yang menjurus kepada cadangan pembaharuan ini.

"Ini adalah langkah pertama yang penting ke arah mencapai ketelusan yang lebih baik, penguatkuasaan undang-undang yang berkesan akan membolehkan kelab secara amnya menjana keuntungan serta membangunkan persetujuan untuk menangani isu ejen, pinjaman dan aspek penting lain dalam sistem perpindahan."

Pembaharuan yang dicadangkan akan dikemukakan bagi mendapatkan kelulusan Majlis FIFA dalam mesyuarat berikutnya pada 26 Oktober depan.

Bekas pemain, Cafu dan Edwin van der Sar, Ketua Eksekutif Arsenal, Ivan Gazidis, dan Pengerusi Eksekutif Liga Perdana, Richard Scudamore, adalah antara ahli Jawatankuasa Pemegang Taruh Bola Sepak.