Pemain tengah Felda, Curran Singh Ferns, kini bakal menjadi pemain tempatan terbaru yang berkelana ke luar negara apabila menyertai kelab Liga 1 Thailand, Sukhothai FC, esok.

Pemain kacukan Malaysia-Australia ini mengesahkan perpindahannya ke Thailand, semalam.

Bekas pemain remaja Melbourne Victory dalam Liga A itu mengakui impian untuk mewakili skuad negara adalah faktor yang mendorongnya mencuba nasib di Thailand.

Difahamkan, Ferns tidak mendapat tawaran tinggi ke Thailand, namun ia tidak menjadi masalah buatnya.

"Saya masih muda dan mahu meningkatkan perkembangan dalam kerjaya bola sepak saya.

"Saya rasakan Thailand adalah satu tahap lebih tinggi yang boleh membantu saya dalam banyak perkara.

"Perkara utama yang membuatkan saya mahu ke sana adalah saya mahu bermain dalam Piala Suzuki AFF bersama Malaysia," kata Ferns.

Dalam pada itu, jurulatih Felda, B. Sathianathan, merestui perpindahan Ferns ke negara jiran itu.

Sathianathan juga menyifatkan perpindahan Ferns adalah satu contoh baik buat pemain muda tempatan.

"Kalau dia dapat pergi ke Thailand, ia bagus untuk dia. Saya tidak mahu menyekat pemain yang mahu keluar kerana ia memberi pengalaman berguna kepada Ferns. Saya berharap untuk kejayaannya kalau dia pergi ke sana.

"Memang individu kacukan ini ada pengalaman di Australia, yalah dia boleh sesuaikan diri di mana-mana. Ia bagus kerana membuka peluang pemain-pemain lain untuk ke Thailand," kata Sathianathan.