Lucien Favre mengundurkan diri daripada tugas ketua jurulatih Nice di sebalik spekulasi kuat mengatakan dia bersedia untuk diumumkan sebagai bos Borussia Dortmund.

Favre membantu Nice untuk menduduki tempat ketiga dalam Ligue 1 musim lalu walaupun tewas 3-2 di Lyon, awal pagi tadi, yang menyebabkan mereka berada di tangga kelapan dan di luar slot kelayakan Liga Europa.

"Ini adalah penghujung musim yang tidak menentu, di mana kami mengharapkan kelayakan ke Eropah," kata jurulatih kelahiran Switzerland berusia 60 tahun itu dalam sidang media selepas perlawanan.

"Ini perlawanan terakhir saya sebagai jurulatih Nice. Dua tahun yang hebat di Nice, di peringkat individu dan sukan," katanya.

Favre dalam masa yang sama enggan mengesahkan sama ada dia akan pergi ke Dortmund bagi menggantikan Peter Stoger.

"Saya akan meninggalkan Nice tetapi saya tidak boleh mengatakan lebih banyak lagi," kata bekas jurulatih Borussia Monchengladbach itu.

Sementara itu, Presiden Nice, Jean-Pierre Rivere, turut mengharapkan yang terbaik buat Favre dalam cabaran baru yang menantinya.

"Selama dua musim bersama kami, dia telah membantu mengekalkan kemajuan Nice, dengan rekod prestasi yang luar biasa tahun lalu," katanya.

"Kami mengucapkan terima kasih kepadanya kerana kualiti kerja yang telah dilakukan. Dia seorang profesional dan berkualiti tinggi. Kami berharap dia berjaya dalam cabaran baru yang menantinya."