Lucien Favre menabik penjaga gol, Roman Burki, dan keseluruhan skuadnya selepas Borussia Dortmund mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.

Kemenangan tipis 2-1 yang dilakar ke atas Slavia Prague di laman sendiri dan kegagalan Inter Milan menewaskan Barcelona awal pagi tadi menyaksikan Dortmund menamatkan saingan Kumpulan F itu di tangga kedua.

Tomas Soucek memadamkan jaringan pembukaan Jadon Sancho sebelum Julan Brandt kembali meletakkan pasukan Bundesliga itu di depan selepas sejam perlawanan.

Layangan kad kuning kedua buat Julian Weigl meningkatkan tekanan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu tetapi Burki menyelamatkan percubaan Milan Skoda dan Abdulla Yusuf Helal untuk memastikan tiga mata itu.

"Setiap orang, tanpa sesiapa pun yang dikecualikan, telah memainkan peranan mereka untuk kemenangan ini," kata Favre.

"Ia perlawanan yang gila. Peluang yang berterusan. Kami perlu memenangi perlawanan ini.

"Ia apa yang kami sasarkan, kami dapat melakukannya tetapi ia amat sukar.

"Slavia amat kuat seperti yang dijangkakan.

"Mereka pernah seri dalam perlawanan sebelum ini dan kami tidak.

"Roman Burki amat luar biasa, dia amat hebat.

"Tetapi untuk mengulanginya sekali lagi, kami mencapai kemenangan ini bersama-sama.

"Kami mencipa pelbagai peluang dan sepatutnya menang dengan lebih daripada satu gol.

"Kami terlalu terbuka pada satu-satu masa.

"Ia kemenangan tetapi kami perlu terus berusaha keras," katanya.

Secara keseluruhan, Burki melakukan tujuh aksi menyelamat untuk memastikan Dortmund ke pusingan kalah mati dan Inter, yang ditewaskan Barca dengan jaringan kemenangan Ansu Fati pada minit ke-86 di San Siro, tersingkir.

"Seluruh pasukan berasa lega selepas wisel penamat," kata Burki.

"Dengan kesukaran yang dihadapi, kami dapat melihat penyokong bersorak sebelum perlawanan tamat dan kami melihat ke arah skrin.

"Ia memberikan kami semangat tambahan ketika itu.

"Kami satu pasukan, kami berjuang dengan baik.

"Ia mungkin hari yang sibuk buat saya tetapi itulah sebabnya saya berada di sini.

"Mungkin saya boleh katakan yang saya telah melakukannya dengan baik hari ini," katanya.