IBIZA 1 BARCELONA 2

Ansu Fati akan memperoleh lebih peluang selagi dia terus berkembang, kata Quique Setien selepas Barcelona menang tipis ke atas Ibiza dalam Copa del Rey awal pagi tadi.


Setien merehatkan Lionel Messi, Sergio Busquets dan Gerard Pique bagi kunjungan ke laman lawan daripada Liga Segunda B itu, yang mencipta kejutan dengan gol pendahuluan ke atas pendahulu LaLiga berkenaan pada minit kesembilan.

Kejutan itu berpanjangan sehingga Antoine Griezmann menyamakan kedudukan pada minit ke-72 dan menjaringkan gol kemenangan dalam waktu kecederaan.

Fati, 17, mencuri tumpuan ketika menjaringkan gol ke atas Osasuna dan Valencia pada awal musim ini dan menjaringkan gol kemenangan di Inter Milan dalam Liga Juara-Juara Eropah bulan lalu.

Namun, dia gagal menyumbangkan apa-apa ketika mencatatkan kemenangan 2-1 di Ibiza.

Walaupun gagal menyerlah dalam perlawanan itu, Fati akan tetap diberikan lebih peluang seandainya dapat membuktikan kebolehannya kepada Setien.

"Perkara pertama yang kami lakukan adalah melihat pemain di posisi berbeza," katanya kepada wartawan.

"(Fati) berbakat besar. Kami akan melihat bagaimana perkembangannya.

"Dia akan memulakan lebih banyak perlawanan selagi dia terus berkembang," katanya.

Setien, yang tidak berpuas hati dengan prestasi Barca, menambah: "Saya tidak menggemari pasukan ini. Saya lebih gemar jika ia berlaku dengan sebaliknya.

"Tetapi di stadium seperti ini, ia lebih sukar.

"Mereka amat agresif dan kuat ketika bertahan.

"Ia sememangnya sukar.

"Saya lebih gemar seandainya kami lebih jelas dan bermain lebih baik.

"Tetapi daripada ini, kami dapat membuat kesimpulan mengenai masa depan.

"Apabila anda melakukannya dengan buruk, anda boleh meningkat," katanya lagi.



Editor: Muzaffar Musa