Penjaga gol yang juga ketua pasukan skuad negara, Farizal Marlias, sedia mengetepikan masalah kesihatan untuk memastikan pasukannya pulang dengan kemenangan dalam pertemuan persahabatan menentang Nepal, esok.

Farizal mengalami sedikit masalah kerana baru sahaja sembuh daripada demam menjelang aksi bertemu Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Dilihat belum pasti akan diturunkan atas faktor kecergasan, penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) itu enggan melepaskan peluang beraksi.

Ia kerana perlawanan itu bakal menjadi penampilan istimewa buat dirinya selepas dilantik sebagai ketua pasukan Harimau Malaya yang baru.

"Ia bukan satu alasan, jadi saya sudah bersedia jika diturunkan.

"Bola sepak dimainkan secara sepasukan, jadi setiap pemain harus bersedia.

"Kalau salah seorang daripada kami tidak bersedia, ia akan sedikit mencacatkan pasukan," katanya.

Sementara itu, kapten Nepal, Biraj Mahorjan, berwaspada dengan mengakui Malaysia sebagai lawan yang mantap, namun percaya terhadap kemampuan pasukannya untuk menghadirkan tentangan hebat.

"Perlawanan ini sangat penting buat kami.

"Kami akan buat yang terbaik," katanya.