Masih belum berpuas hati dengan pencapaiannya di peringkat kelab, penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Farizal Marlias, ingin meningkatkan persembahannya bagi merebut tempat dalam senarai akhir ke Piala AFF 2018, bulan depan.

Farizal kembali disenaraikan pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, menjelang aksi persahabatan menentang Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Turut tersenarai adalah penjaga gol Melaka, Khairul Fahmi Che Mat serta Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang membantu Perak menjulang kejuaraan Piala Malaysia, kelmarin.

Dengan hanya dua penjaga gol berkemungkinan disenaraikan dalam skuad akhir ke Piala AFF, Farizal mahu memastikan dia merebut peluang berkenaan.

"Ia satu persaingan yang baik buat kami bertiga.

"Saya tidak rasakan itu satu masalah yang besar.

"Apa yang penting adalah komitmen yang diberikan pemain semasa sesi latihan dan diterjemahkan di atas padang sewaktu pertandingan," katanya.

Dalam pada itu, Farizal berpandangan skuad negara mempunyai kemampuan untuk melepasi peringkat kumpulan yang turut melibatkan Kemboja, Myanmar, Vietnam dan Laos.

Apa yang membezakan edisi kali ini adalah tiada tuan rumah bertindak selaku hos kejohanan dengan kesemua pasukan akan bermain dua aksi di laman sendiri dan dua lagi di tempat lawan.

Jelas Farizal, Malaysia perlu manfaatkan perlawanan di laman sendiri dan mengelak kehilangan mata sekiranya ingin merebut slot ke separuh akhir.

"Kami mempunyai peluang yang baik. Kami perlu meraih mata penuh di laman sendiri dan mencuri sebanyak mata di tempat lawan.

"Saya yakin dengan pemain-pemain yang ada, kami mampu untuk ke separuh akhir," tambahnya.