Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, mengesahkan telah menerima permohonan secara rasmi daripada Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi untuk menarik diri daripada menjadi calon presiden dalam Kongres FAM, bulan depan.

Yusoff, yang kini di Russia bagi menghadiri Kongres Persekutuan Bolasepak Antrabangsa (FIFA), menyambut baik tindakan Azim yang menarik diri sebagai calon presiden FAM.

Beliau percaya Azim sudah melakukan pertimbangan dengan mendalam sebelum membuat keputusan menarik diri.

"Pagi ini, kami menerima surat penarikan diri daripada Datuk Seri Azim bagi merebut jawatan presiden FAM.

"Saya kira keputusan itu dibuat setelah membuat pertimbangan yang cukup teliti dan meletakkan kepentingan bola sepak negara sebagai keutamaan beliau.

"Saya kira bukan menang atau kalah menjadi pertimbangan beliau. Dengan ini, saya mengucapkan terima kasih kepadanya," kata Yusoff.

Tarikh tutup bagi setiap calon mengesahkan sama ada mereka akan bertanding atau tidak ialah Khamis ini.

Komitmen selaku pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) dan timbalan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) adalah antara faktor yang turut mendorong Azim menarik diri.

Kini, hanya ada dua calon untuk jawatan presiden, iaitu Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, dan bekas presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.