Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyarankan 20 persatuan bola sepak negeri meningkatkan penganjuran liga bola sepak di peringkat akar umbi bagi mencungkil ramai bakat baru untuk mewakili pasukan kebangsaan pada masa depan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berpendapat usaha sebegitu perlu digerakkan secepat mungkin kerana Malaysia memerlukan lebih ramai lagi pemain kebangsaan baru yang berkaliber dan menyerlah yang hanya dapat dikenal pasti menerusi pencarian bakat baru di peringkat bawah.

“Untuk mendapatkan pemain seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid hanya dalam seribu ada satu kami dapat, jadi kalau tiada usaha di peringkat bawah, memang kami tiada langsung pemain untuk mewakili negara.

"FAM berasakan persatuan bola sepak negeri kena adakan program pembangunan bola sepak peringkat bawahan secara berterusan supaya negara tidak ketandusan pemain di masa depan,” kata Hamidin.

Majlis pelancaran Liga THB-KFA itu disempurnakan Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang merupakan penaung bagi liga berkenaan.

Turut hadir bagi mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Keusahawanan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris serta Pengarah Urusan THB Maintenance Sdn Bhd, Datuk Seri Hasnur Rabiain Ismail.

Sementara itu, Hamidin yang dalam rangka lawatannya ke KFA hari ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada KFA kerana berjaya menganjurkan Liga THB-KFA ini yang menjadi platform terbaik mengetengahkan bakat-bakat muda negeri Kedah.

“Apa yang dilaksanakan KFA ini adalah adalah tepat dan perlu dicontohi negeri-negeri lain dan mereka adalah pengeluar (kilang) pemain muda yang banyak beraksi di peringkat kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Asmirul berkata sebanyak 20 pasukan terbahagi kepada zon utara dan zon selatan akan berentap bagi merebut trofi serta wang tunai berjumlah RM20,000 bagi johan manakala RM10,000 bagi naib johan dalam kejohanan yang bermula 18 April ini dan berakhir pada penghujung Ogos.

“Kejohanan ini telah lama dinanti-nantikan oleh rakyat Kedah kerana kali terakhir diadakan ialah pada lima tahun lalu yang dikenali K-League. Ia program yang penting sebagai usaha berterusan bagi mengekalkan Kedah sebagai antara pasukan yang digeruni di Malaysia,” katanya.

Antara pasukan yang mengambil bahagian adalah THB Wanderes, PG FC, Suka Menanti FC, Arena Kulim FC, Polimas FC dan Kubang Rotan FC.

-- BERNAMA