Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, menyambut baik cadangan ketua-ketua negara anggota ASEAN untuk membida secara bersama penganjuran Piala Dunia 2034.

Beliau berkata usul itu akan dibincangkan secara mendalam dengan kesemua persatuan bola sepak negara-negara ASEAN memandangkan ia pernah diusulkan sebelum ini, namun tiada sebarang kata putus dicapai.

Perkembangan terbaru itu membabitkan suara kesemua ketua-ketua negara ASEAN, sekali gus memberikan gambaran ia akan direalisasikan.

"Jika perbincangan bersama telah diadakan di peringkat antara kerajaan, kami di FAM memang gembira kalau perkara seperti ini dibincangkan.

"Tetapi kita kena ambil kedudukan kita untuk mengkaji fleksibiliti dan kemampuan, bukan sekadar untuk menganjurkannya kerana untuk membida kejohanan seperti ini juga memerlukan usaha yang besar daripada kesemua pemegang taruh.

"Agak susah untuk menjadi tuan rumah dengan 10 negara ASEAN.

"Pada masa membuat bidaan kepada FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa), mungkin hanya ada tiga ke lima negara sahaja yang mampu dan berminat untuk terlibat.

"Aspek kerajaan, imigresen dan keperluan atau kebenaran laluan udara juga perlu dilihat," katanya.

Nada positif turut diluahkan pemerhati bola sepak negara, Hasnizam Uzir.

"Kalau kita melihat, terutama daripada segi fasiliti dan komitmen, setiap negara mahu memajukan bola sepak.

"Apa yang penting ialah daripada segi daya tarikan sesebuah negara dengan budaya yang berbeza di mana ia sebenarnya dapat menarik kunjungan pencinta bola sepak dunia dengan menggunakan platform 'pelancongan sukan'.

"Pelancongan sukan ini akan menjana ekonomi dan seterusnya membangunkan sukan itu sendiri, terutama bola sepak," katanya.

Turut berkongsi keterujaan sama ialah pemain Harimau Malaya, Matthew Davies dan Mohammadou Sumareh.

"Ia pasti hebat.

"Saya berasakan ia pasti menjadi sesuatu yang besar buat keseluruhan rantau ini untuk mendapatkan hak penganjuran Piala Dunia.

"Saya berharap ia akan berjaya dan saya berharap dengan penyatuan dengan negara-negara lain, kita akan menjadi lebih kuat.

"Ia pasti menjadi sesuatu yang besar buat rantau ini," kata Davies.

"Bagi kebanyakan orang, Malaysia agak dikenali sebagai negara pelancongan.

"Mereka sukakan Malaysia.

"Sesiapa sahaja yang pernah ke sini, mereka sentiasa berkata baik tentang Malaysia dan sentiasa kembali ke sini.

"Untuk Malaysia mencuba menganjurkan kejohanan terbesar di dunia seperti ini, ia pasti mendapat perhatian dan ia amat baik untuk Malaysia," tambah Sumareh pula.