Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengesahkan khidmat jurulatih skuad B-22, Datuk Ong Kim Swee, akan dikekalkan sehingga tempoh yang akan ditetapkan kemudian untuk menghadapi Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun di China, tahun depan.

Kim Swee cemerlang bersama skuad muda negara ketika kempen kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok, Julai lalu.

Dia berjaya memastikan skuad muda negara muncul juara kumpulan untuk layak ke pusingan akhir kejohanan itu di China, Februari depan.

Malah, dia turut melunaskan sasaran skuad negara layak ke final Sukan SEA Kuala Lumpur bulan lalu sebelum akur dengan pingat perak.

Menimbulkan persoalan mengenai kedudukan jurulatih itu ketika kontraknya akan berakhir Disember ini, ini pengesahan Tunku Ismail: "Kim Swee berminat untuk meneruskan khidmatnya dan FAM akan mempertimbangkannya.

"Kontraknya akan diperbaharui mungkin setahun atau dua tahun.

"Buat masa ini, dia bersetuju untuk meneruskan khidmatnya."

Sememangnya, ini perkhabaran gembira buat Kim Swee selepas turut mendapat tawaran beberapa kelab Indonesia sejurus berakhirnya Sukan SEA, 30 Ogos lalu.