Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu mendapatkan persetujuan dan jaminan daripada kerajaan sebelum mengambil apa-apa langkah dalam pembidaan penganjuran Piala Dunia di ASEAN.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata beliau akan bertemu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, untuk membincangkan sama ada kerajaan akan memberi jaminan yang diperlukan dalam proses pembidaan tersebut.

“Kerajaan harus bersama dengan kami (FAM). Perlu memberi jaminan keselamatan, visa, kesihatan serta kewangan, untuk membina stadium dan infrastruktur dan sebagainya, itu adalah prosedur operasi standard (SOP). Saya perlu bertemu dengan menteri dahulu, kalau betul dan serius nak teruskan, kami akan teruskan.

“Buat masa ini, saya tak nak buat apa-apa spekulasi. Sekiranya kami dapat menganjurkan, ia bagus untuk kita kerana akan mendapat infrastruktur, stadium dan kemudahan yang baik,” katanya dalam sesi santai media bersama presiden FAM, hari ini.

Kongres FAM ke-55, Sabtu lalu, melantik Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal, sebagai wakil badan induk itu dalam melaksanakan misi Malaysia mengetuai proses pembidaan hos bersama Piala Dunia selepas mendapat mandat daripada ahli gabungan.

Menurut Hamidin lagi, walaupun kesemua pemimpin ASEAN bersetuju untuk membida bagi Piala Dunia 2034 dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 di Bangkok, Jun lalu, bidaan melebihi empat negara tidak realistik.

“Dalam mesyuarat AFF (Persekutuan Bolasepak ASEAN) sebelum ini, Persatuan Bolasepak Thailand tidak berminat tetapi kerajaan negara itu nak. Indonesia (Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia) serius manakala Australia pun berminat.

“Saya nak ingatkan, Australia bukan dalam ASEAN tetapi ada dalam AFF dan ia diiktiraf oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Jadi ada kelainan daripada segi kerajaan (keanggotaan ASEAN) dan bola sepak (AFF),” katanya.

Untuk rekod, Qatar akan menjadi tuan rumah edisi 2022 manakala edisi 2026 akan dianjurkan tiga negara buat kali pertama, iaitu Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat, yang juga bakal menjadi edisi pertama melibatkan 48 pasukan berbanding 32 pasukan pada masa kini.

Piala Dunia 2002 di Korea Selatan dan Jepun merupakan kali pertama kejohanan empat tahun sekali itu dianjurkan oleh dua negara.

-- BERNAMA