Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, bakal mengumumkan perancangan buat skuad B-16 negara sebaik tamat saingan Kelayakan Piala Dunia B-17 Tahun yang sedang berlangsung ketika ini.

Merujuk kepada prestasi semasa yang ditampilkan anak buah Lim Teong Kim dalam Kejohanan AFC B-16 ketika ini, ada penambahbaikan yang sedang dirancang Hamidin.

Bagaimanapun, hal itu hanya akan diumumkan sebaik tamat saingan kelayakan ketika ini.

Ia menguatkan lagi desas-desus campur tangan dan pengambilalihan sepenuhnya FAM dalam Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) selepas ini bagi tempoh segera.

"Saya akan membuat pengumuman selepas tamat kejohanan ini kerana mahu memastikan tumpuan pasukan untuk perlawanan berdepan Jepun esok," katanya.

Tambah Hamidin, perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berada dalam fasa akhir dan hanya menunggu keputusan akhir yang akan dibuat Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dalam masa terdekat.

"Kami telah menyatakan haluan bola sepak negara dan menunggu maklum balas daripada KBS dalam hal ini," katanya.