Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meluluskan enam calon untuk bertanding merebut satu kerusi ahli jawatankuasa eksekutif (exco) badan induk itu selepas mendapat pencalonan daripada ahli gabungan masing masing.

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali kelapan yang diadakan di Petaling Jaya hari ini terarah kepada persiapan badan induk itu menjelang kongres pada 13 Julai ini.

Terdapat beberapa perkara diluluskan untuk dibawa ke kongres berkenaan.

Antara intipati mesyuarat berkenaan adalah enam calon yang disahkan akan bertanding untuk merebut kerusi exco bagi menggantikan Subkhiddin Mohd Salleh.

Antara calon tersebut ialah Marzuki Sulong (Terengganu), Datuk Kamarul Ariffin Shahar (PDRM) dan Khamal Idris Ali (Kedah).

Turut berlangsung adalah majlis pelancaran Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) yang akan bermula 22 Jun ini.