Pemerhati bola sepak tempatan mahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengubah pendekatan dalam memilih presiden daripada kalangan keluarga diraja dan juga ahli politik menjelang kongresnya yang ke-54, Julai depan.

Salah seorang individu yang bertindak selaku pemerhati bola sepak tempatan, Rizal Hashim, berpendapat bahawa Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, adalah calon terbaik menerajui FAM selepas ini.

Hamidin dilihat sebagai seorang pentadbir bola sepak yang cukup berpengalaman di peringkat negeri sebelum ini dan cukup sinonim dengan kancah bola sepak tempatan.

Malah, Hamidin turut mempunyai hubungan baik dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Kita lihat, kalau daripada segi persepsi, perasaan dan sentimen rakyat hari ini, FAM harus diterajui oleh seseorang yang bukan daripada latar belakang kerabat diraja, bukan ahli politik ataupun bekas ahli politik.

"Sudah tentu dalam hal ini, Hamidin selaku bekas setiausaha agung FAS yang sekarang ini menjawat jawatan setiausaha agung FAM memiliki pengalaman yang luas serta mengetahui apakah kelemahan dan kekuatan daripada segi urus tadbir," kata Rizal.

Pandangan sama turut disuarakan seorang lagi pemerhati yang juga bekas pemain skuad kebangsaan, Hasnizam Uzir.

Walaupun dia tidak menafikan pengalaman dua lagi calon, iaitu Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan Tan Sri Annuar Musa, Hasnizam masih meyakini kredibiliti Hamidin sebagai individu yang mempunyai latar belakang terbaik untuk menerajui FAM.

"Itulah yang diingini presiden terdahulu, Tunku Ismail, di mana dia mencadangkan Hamidin untuk menggalas tugas sebagai presiden.

"Bagi saya, ia satu perkembangan positif kerana ia tiada kepentingan supaya bola sepak ini lari daripada unsur-unsur politik walaupun pada dasarnya kita memerlukan orang politik untuk memberi sokongan, terutama daripada kerajaan bagi mendapatkan dana. Apa yang pasti, bola sepak itu milik masyarakat," katanya.