Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengadakan dua program 'Respect' bagi musim 2019-2020 susulan kerjasama yang dijalin persatuan itu dengan Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA).

Program pertama adalah kempen ‘Together’ Khamis ini, yang menumpukan untuk menangani peningkatan masalah menghina dan kekasaran terhadap pegawai dan penonton dalam liga profesional manakala keduanya kempen 'Play Positive' bermula Januari 2020, menumpukan kepada peranan jurulatih dan ibu bapa dalam mewujudkan persekitaran positif untuk pemain berusia di antara empat dan 12 tahun.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata badan kebangsaan itu berbesar hati dapat menjalin kerjasama dengan FA dalam mewujudkan kesedaran, terutama untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan menyeronokkan dalam bola sepak seperti peminat, pegawai perlawanan dan pentadbir kelab di negara ini.

"Dalam usaha untuk membuat perbezaan sebenar terhadap tingkah laku setiap orang yang terlibat dalam permainan, perubahan budaya perlu berlaku di semua peringkat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan FAM hari ini.

Senada dengan pandangan Hamidin, Pengerusi FA, Greg Clarke, gembira dapat berkongsi pengalaman mereka di samping memberi panduan bersama-sama dengan FAM berhubung program Respect, yang disesuaikan dengan permainan di negara mereka sendiri.

Beliau berpandangan perkongsian ilmu di antara dua persatuan kebangsaan itu merupakan kunci penting bagi pembangunan bola sepak di negara masing-masing.

"Kempen kami telah mengalami banyak perubahan sejak penubuhannya tetapi tetap berusaha untuk meambah baik pemainan di padang dan tingkah laku dengan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan dan manfaat Respect selama ini,” kata Clarke.

Untuk rekod, FA melancarkan program Respect pada 2008 selepas terdapat banyak masalah berkaitan tingkah laku dalam permainan peringkat kebangsaan.

-- BERNAMA