Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia berdepan kemungkinan Tan Cheng Hoe tidak menerima tawaran kontrak baru untuk mengendalikan skuad senior kebangsaan.

Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan akan bermesyuarat esok dengan setiap jurulatih akan membentangkan laporan keseluruhan tahun 2018.

Selain itu, kedudukan Cheng Hoe, yang menerajui skuad senior kebangsaan sejak penghujung 2017, menjadi tumpuan selepas kontraknya berakhir 31 Disember lalu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, menjelaskan satu perbincangan telah diadakan bersama Cheng Hoe dan percaya badan induk itu mempunyai tawaran yang memuaskan.

Menurutnya, terpulang kepada pengendali berusia 51 tahun itu sama ada mahu menerima tawaran berkenaan ataupun tidak dalam mesyuarat itu nanti.

"Perkara itu perlu ditanya sendiri kepada Cheng Hoe kerana maklumat terperinci (mengenai kontraknya) adalah sulit.

"FAM akan mengetahui sama ada beliau menerima tawaran atau tidak dan ia akan melalui persetujuan bersama.

"Kalau beliau tidak mahu lagi bersama kami mahupun FAM tidak ingin melanjutkan kontraknya, ia akan melalui persetujuan bersama," katanya.

Dalam masa sama, Stuart turut menjelaskan beberapa kriteria menjadi keutamaan dalam menentukan kedudukan jurulatih selaras dengan pelan jangka panjang F30 yang diperkenalkan oleh FAM sebelum ini.

Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee (B-23) serta Bojan Hodak (B-19), masih mempunyai kontrak bersama FAM tetapi prestasi mereka akan dinilai menerusi beberapa pertandingan membabitkan pasukan masing-masing tahun ini.

"Skuad kendalian Hodak mempunyai dua tugasan tahun ini manakala Kim Swee pula akan mengharungi kelayakan Kejohanan B-23 di tempat sendiri, Mac ini," katanya lagi.