Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menetapkan corak permainan skuad Harimau Malaya bimbingan Tan Cheng Hoe sebagai manifestasi 'DNA bola sepak Malaysia' yang akan diseragamkan, merentasi semua peringkat dan pasukan di negara ini.

Falsafah bola sepak Malaysia sebelum ini tampak 'cacamarba' apabila tiada ketetapan daripada badan induk itu terhadap gaya permainan skuad negara.

Ia menyaksikan jurulatih negara di semua peringkat umur, termasuk Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), mempunyai falsafah masing-masing.

Menyedari ia tidak memberi keuntungan kepada skuad negara, FAM tampil memperkenalkan falsafah sebenar bola sepak negara sebagai rujukan semua pihak untuk memahami corak permainan mengikut acuan bola sepak negara.

"NFDP adalah program tunas yang akan diterapkan di daerah dan negeri, termasuk sekolah.

"Kami bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jawatankuasa Teknikal FAM akan memantau pelaksanaannya.

"Mungkin dalam beberapa tahun lagi, kita akan nampak kesannya dengan melahirkan kuantiti dan kualiti pemain di peringkat sekolah selain memberi kesedaran kepada ibu bapa," kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, di Subang, hari ini.

Dalam erti kata lain, falsafah bola sepak 'cara Malaysia' boleh digambarkan menerusi corak permainan anak buah Cheng Hoe yang bergerak sebagai sebuah pasukan dalam transisi daripada pertahanan kepada serangan selain bertahan secara berpasukan.

Sasaran utama badan induk negara itu adalah melahirkan pemain negara yang benar-benar bermain dengan falsafah berkenaan pada 2030 sejajar dengan kemuncak Peta Hala Tuju FAM, F:30.

"Kami menjalinkan kerjasama rapat dengan NFDP dan kami telah berkongsi maklumat untuk bagaimanapun membentuk jurulatih dan menerapkan falsafah bola sepak Malaysia.

"Saya tidak nampak masalah mengenainya malah berhasrat untuk terus pacu ke depan," ulas Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo.