Pengendali Juventus, Massimiliano Allegri, menyifatkan faktor kecergasan sebagai punca Paulo Dybala gagal menampilkan persembahan terbaik ketika berdepan Frosinone.

Dybala, 24, masih bergelut untuk mencipta gandingan terbaik bersama Cristiano Ronaldo tatkala rakan sepasukannya itu melupakan insiden kad merah ketika Liga Juara-Juara Eropah dengan menyumbat gol pembukaan dalam kemenangan 2-0, awal pagi tadi.

Federico Bernardeschi masuk selaku pemain gantian untuk menjaringkan gol kedua dalam waktu kecederaan, sekali gus memberi peringatan tentang pilihan yang Allegri miliki di barisan depan.

Namun, Dybala jelas memerlukan lebih peluang walaupun Allegri hanya meletakkannya dalam kesebelasan utama dalam tiga daripada enam perlawanan.

"Dia harus beraksi. Saya sentiasa menekankan bahawa kemampuan utama Dybala adalah lariannya," ujar Allegri.

"Dybala melakukan beberapa perkara bagus pada hari ini. Dia harus bermain. Teknik dan kebolehan menggelecek yang dimilikinya sangat berguna, malah ia akan menjadi lebih baik berbekalkan tahap kecergasan yang sempurna.

"Dybala tidak patut berasa penat dengan persembahan pada hari ini. Anda boleh menjadi pemain terbaik dunia tetapi jika tidak bersedia 100 peratus secara mental, pemain lain akan lebih pantas mendapatkan bola.

"Kami menjangkakan aksi sukar dan itu yang kami raih. Semakin lama, semua perkara menjadi sukar tetapi kami harus berterima kasih kepada Ronaldo," ujarnya.

Frosinone tampak membuatkan Juve kecewa sehingga Ronaldo akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-81.

Kekalahan meletakkan skuad kendalian Moreno Longo itu mengatasi Chievo di tangga terbawah tanpa menjaringkan sebarang gol.

"Ia memalukan. Kami beraksi baik hampir keseluruhan permainan dan saya menjangkakan kami meraih keputusan seri," kata Longo.

"Di atas kertas, ia mungkin tampak satu kekalahan sejak awal tetapi perkara sebaliknya yang berlaku."