Penjaga gol Felcra FC, Mohd Fadzley Rahim, berhasrat mahu meletakkan namanya kembali diingati di persada Liga Malaysia selepas pernah merasai kemanisan bermain dalam Liga Super bersama Sarawak pada 2015.

Penjaga gol berusia 31 tahun itu melalui tahap terendah dalam kariernya apabila sekadar bermain dalam Liga FAM bersama PJ Rangers musim lalu.

Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangatnya yang masih menyimpan keinginan untuk kembali ke kancah Liga Super suatu hari nanti.

Bersama Felcra, dia berharap mampu melakar impian itu, tambahan pasukannya bermula dengan baik apabila melalui tiga perlawanan tanpa kekalahan.

"Menyertai Felcra ini pun sebab saya mahu menaikkan semula nama dan mendapatkan tempat dalam liga. Semoga penyertaan bersama Felcra tahun ini memberi lembaran baru buat saya.

"Kecewa itu memang ada sebab sudah bermain Liga Super tetapi tiba-tiba turun ke Liga FAM. Ketika dalam Liga FAM itu, saya berazam untuk kemabali ke Liga Super mahupun Liga Perdana," ujarnya.

Selain Sarawak, Fadzley juga pernah berkhidmat di Melaka, Sabah dan Pos Malaysia, semuanya di pentas Liga Perdana.

Justeru, dia berharap pengalamannya itu mampu membantu Felcra yang merupakan pendatang baru Liga Perdana musim ini.

"Setakat tiga perlawanan ini, saya berasa lebih yakin dan tenang dengan barisan pertahanan yang ada," katanya lagi.