Persatuan Bolasepak (FA) Mesir meredakan keresahan Mohamed Salah yang berkemungkinan terlepas Piala Dunia Russia bulan depan selepas ujian imbasan (x-ray) menunjukkan tahap kecederaannya tidak seburuk yang disangkakan.

Dalam pertembungan final di Liga Juara-Juara (UCL) di Kiev awal pagi tadi, bintang Liverpool itu menangis selepas terpaksa dikeluarkan pada minit ke-30 dalam kekalahan 3-1 Liverpool kepada Real Madrid selepas dijatuhkan Sergio Ramos.

Mengulas mengenai kecederaan itu, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, pada awalnya berkata masalah itu kelihatan sangat serius dan biarpun belum mengadakan ujian imbasan, dia mengakui prospek Salah untuk pergi ke Piala Dunia Russia tergugat.

Bagaimanapun, FA Mesir kemudian memaklumkan di Twitter mereka bahawa doktor pasukan telah bercakap dengan pegawai Liverpool dan mengesahkan keputusan x-ray menunjukkan Salah mengalami kerosakan ligamen di bahunya, bukannya patah.

Entri berkenaan turut menjelaskan wujud keyakinan untuk Salah diturunkan dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala Dunia menentang Uruguay pada 15 Jun.

Liverpool belum berkongsi sebarang perkembangan mengenai situasi pemain terbabit.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp itu kempunan menjulang trofi selepas Gareth Bale cemerlang menyumbat dua gol biarpun Sadio Mane terlebih dahulu mengimbangi gol pembukaan Karim Benzema.