Patrice Evra telah mula bekerja di Manchester United dalam usaha untuk melengkapkan kursus kejurulatihannya.

Bekas pertahanan Perancis, Evra, mengumumkan persaraan pada Julai lalu selepas menjadikan West Ham United sebagai kelab terakhir.

Dia memberi isyarat untuk memulakan karier kejurulatihan dan kini dilihat berada di laluan yang tepat.

Menerusi laman Instagram, dia mendedahkan telah mula bekerja dengan kelab lamanya, United, sambil menyarung seragam yang tertulis namanya.

"Sukar untuk menerangkan perasaan saya ketika ini," katanya.

"Menyarung kit latihan jurulatih ini membuatkan saya orang yang paling gembira. Terima kasih @manchesterunited kerana membantu saya melengkapkan kursus kejurulatihan!

"Hari pertama selesai."

Evra menjadi terkenal di laman media sosial sama seperti ketika bergelar pemain bola sepak selepas memaparkan video sedang memakan ayam mentah tatkala dia mendakwa ia adalah tanda bersyukur.