Christian Eriksen boleh meningkatkan tahap Inter Milan secara kolektif sebaik sahaja dia menyesuaikan diri dengan kelab Serie A itu, kata Antonio Conte.

Pemain Denmark itu telah tampil lima kali buat Inter sejak melengkapkan perpindahan bernilai EUR20 juta (RM90 juta) daripada Tottenham Hotspur, bulan lalu.

Dia hanya sekali membarisi kesebelasan utama dan masih belum meledakkan gol atau mencipta bantuan jaringan untuk kelab barunya itu tetpai Conte mahu semua pihak bersabar untuk menyaksikan sentuhan terbaik Eriksen bersama Inter.

"Saya lihat terlalu banyak keresahan dan sedikit ketenangan," kata pengurus itu.

"Daripada pihak kami, lebih banyak ketenangan.

"Pemain mahu memastikan dia bersedia dan kami tenang.

"Setiap pemain perlu berfikir untuk meningkatkan diri tanpa memikirkan siapa bersamanya. Kami perlukan perkembangan individu sebelum dijadikan secara kolektif."


Conte masih belum membuat keputusan sama ada akan meletakkan Eriksen dalam kesebelasan utama atau tidak menjelang aksi pusingan 32 Liga Europa menentang Ludogorets, awal pagi esok.

Alexis Sanchez juga dijangka memulakan aksi di Ludogorets Arena dan Conte mengharapkan aksi lebih baik dipamerkan pemain pinjaman itu sebaik sahaja diberikan peluang.

"Dia telah kembali daripada kecederaan teruk. Sebelum ini dia diketepikan selama tiga bulan," tambah bekas pengendali skuad kebangsaan Itali itu.

"Proses pemulihannya berjalan lancar dan kini sedia untuk beraksi. Kami bercakap tentang seorang pemain yang tidak banyak beraksi dalam dua tahun terakhir.

"Dia perlu bersedia daripada segi fizikal dan ia mampu membantu kami mencapai sasaran."

Inter melakukan kunjungan ke Bulgaria setelah jatuh ke tangga ketiga Serie A susulan kekalahan kedua yang dialami musim ini, tewas 2-1 di tangan Lazio, hujung minggu lalu.

"Kami kecewa dengan keputusan tetapi bukan dengan persembahan," ujar Conte.

"Kami mempamerkan aksi yang bagus, berpegang kepada falsafah dan keinginan untuk meningkat. Ia perlu menjadi objektif kami.

"Kami berada dalam saingan Eropah dan perlu berikan yang terbaik serta menghormati pertandingan."