Luis Enrique berkata media tidak dapat menjangkakan kesebelasan utama Sepanyol untuk berdepan England dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA.

Sepanyol memungut mata maksimum selepas dua perlawanan Kumpulan A, dengan The Three Lions bakal berkunjung ke Seville pada Isnin ini.

Paco Alcacer menjaringkan dua gol dalam aksi pertama bersama La Roja sejak 2016 ketika Sepanyol mengatasi Wales 4-1 dalam aksi persahabatan, awal pagi tadi.

Sergio Busquets, Marcos Alonso, Thiago Alcantara dan Marco Asensio merupakan antara pemain gantian yang tidak beraksi di Cardiff, menimbulkan spekulasi bakal turun berdepan skuad kendalian Gareth Southgate itu.

Enrique, bagaimanapun, enggan mendedahkan barisan pemain yang bakal diturunkan di Estadio Benito Villamarin nanti.

"Ya, pemain-pemain yang tidak beraksi dalam perlawanan ini berkemungkinan akan beraksi," kata Enrique.

"Tetapi anda semua tidak akan mampu menjangkakan barisan penuh skuad yang bakal beraksi.

"Anda perlu tunggu kerana ia perlawanan yang penting buat kami dalam tempoh tiga hari lagi."

Alcacer kini telah meledak sembilan gol dalam lima penampilan untuk kelab dan Sepanyol selepas mempamerkan aksi cemerlang ketika dipinjamkan ke Borussia Dortmund.

Penyerang itu tidak sabar untuk berdepan England dan sekali lagi bergandingan bersama Suso dan Alvaro Morata.

"Keyakinan adalah perkara asas untuk setiap pemain," katanya lagi.

"Saya berpuas hati dengan persembahan ketiga-tiga penyerang walaupun yang paling menyinar adalah Alcacer.

"Kami akan cuba mengulangi persembahan ini dan mengharapkan kemenangan sekali lagi memihak Sepanyol."