England mengesahkan bahawa Dele Alli mengalami kekejangan paha yang meletakkan pemain tengah itu dalam keraguan untuk perlawanan menentang Panama dalam Kumpulan G, Piala Dunia di Stadium Nizhny Novgorod, Ahad ini.

Alli mendapat kecederaan itu dalam separuh pertama ketika menewaskan Tunisia 2-1 dalam aksi pembukaan di Volgograd Arena, semalam.

Walaupun meneruskan permainan, pemain Tottenham itu digantikan dengan Ruben Loftus-Cheek pada 10 minit terakhir.

England mengumumkan Alli menjalani imbasan terhadap kecederaan itu dan keputusan menunjukkan dia mengalami kekejangan kecil pada pahanya.

Tiada pengesahan tempoh untuk pemulihan Alli, dengan Loftus-Cheek, Eric Dier dan Fabian Delph antara pilihan yang berpotensi untuk jurulatih, Gareth Southgate.