ENGLAND 7 MONTENEGRO 0

Harry Kane berkata England mahu menampilkan persembahan bergaya dalam perlawanan ke-1,000 ketika mengatasi Montenegro 7-0 untuk melengkapkan kelayakan mereka ke Euro 2020 di Wembley.


The Three Lions hanya memerlukan satu mata untuk melangkah ke Euro 2020 tetapi kemenangan berjaya dilakar sebelum tamat separuh masa pertama apabila kapten pasukan, Kane, menjaringkan hatrik dalam tempoh 37 minit.

Jaringan ketiga Kane merupakan yang kelima buat England dalam separuh masa pertama sementara jaringan sendiri dan gol sulung Tammy Abraham di peringkat antarabangsa melengkapkan kemenangan tuan rumah.

Penyerang Tottenham itu menyedari pasukannya bertekad untuk menghasilkan keputusan yang positif dalam aksi ke-1,000 England.

"Ia sangat baik. Kami hanya melakukan satu kesilapan sepanjang saingan kelayakan tetapi kami telah bangkit dengan bergaya," katanya kepada ITV Sport. "Kami menyelesaikan tugas di sini hari ini.

"Kami benar-benar mahu menampilkan aksi yang bergaya dalam perlawanan ke-1,000 England -- mendahului 5-0 dalam separuh masa pertama adalah hasil daripada keazaman pasukan.

Hatrik Kane menyaksikan dia kini di tangga keenam selaku penjaring terbanyak England dengan 31 gol -- berkelebihan satu gol ke atas Alan Shearer.

"Kami semua menyedari kemampuan Shearer menjaringkan gol, saya gembira kerana berjaya melintasinya dan berharap untuk menambah lagi jaringan dalam perlawanan akan datang."

Aksi ke-1,000 England itu telah dibayangi pertelingkahan di antara Raheem Sterling dan Joe Gomez, yang menyaksikan penyerang Manchester City itu tidak beraksi dalam perlawanan tersebut.

Tetapi Kane yakin Sterling akan kembali meletakkan tumpuannya kepada perlawanan berdepan Kosovo, Ahad ini.

"Dia tidak menghadirkan masalah sepanjang bersama kem England. Dia telah berlatih dengan baik," katanya lagi. "Semestinya dia kecewa tidak beraksi dalam perlawanan ini tetapi dia akan kembali bersedia untuk perlawanan seterusnya."