KOSOVO 0 ENGLAND 4

Gareth Southgate berpandangan England telah menampilkan aksi yang lebih berkualiti selepas mengatasi isu pertelingkahan di antara Raheem Sterling dan Joe Gomez sebelum menamatkan saingan kelayakan Euro 2020 dengan kemenangan bergaya.


Selepas diketepikan skuad England yang mengatasi Montenegro 7-0 di sebalik insiden melibatkan Gomez, Sterling kembali dalam skuad kendalian Southgate itu untuk meraih kemenangan 4-0 ke atas Kosovo dan terlibat dalam jaringan yang disumbat Harry Kane dan Marcus Rashford.

Southgate memuji usaha barisan pemainnya serta menjelaskan rasa gembira di atas peningkatan yang ditampilkan menjelang saingan Euro yang kini berbaki tujuh bulan lagi.

"Anda perlu mengatasi kesukaran yang dihadapi," kata Southgate kepada ITV. "Sejujurnya, pasukan ini telah mengatasi masalah yang dihadapi dan menampilkan permainan yang lebih berkualiti.

"Kami bukan sekadar melayakkan diri ke Euro tetapi pemain-pemain mengikut corak permainan yang telah diterapkan dan memahami prinsip pasukan.

"Terdapat beberapa persaingan yang sihat dan kami juga telah mempelajari beberapa perkara daripada perlawanan ini."

Harry Winks membuka jaringan di Stadiumi Fadil Vokrri itu dengan gol pertamanya bersama skuad England -- percubaan yang sama diraih Mason Mount dalam separuh masa kedua.

Winks mengakui kesilapan barisan pertahanan England membenarkan Kosovo bersaing di samping menjelaskan tidak kisah jika diturunkan sebagai pemain tengah menyerang atau bertahan.

"Saya boleh berada dalam kedua-dua posisi," kata Winks kepada ITV. "Saya melihat diri ini sebagai pemain yang mampu membantu jentera serangan serta pertahanan.

"Terdapat ruang yang dapat diperbaiki selepas ini. Sama seperti perlawanan bertemu Montenegro, kami melakukan kesilapan mudah dan kami perlu mencari untuk memperbaikinya.

Kane, yang kini telah menjaringkan 12 gol sepanjang saingan kelayakan, senada dengan rakan sepasukannya itu di samping mencerminkan prestasi mantap England.

"Lawan telah menghadirkan tekanan tetapi kami menyerapnya dan menyaksikan lawan membuka ruang untuk kami pula menghasilkan peluang dan 4-0 adalah keputusan yang baik.

"Mutu permainan boleh dipertingkatkan lagi. Permukaan padang yang kurang baik menyukarkan pasukan dan sukar untuk bermain di sini.

"Apabila berdepan pasukan yang lebih sukar pada masa akan datang, kami akan pastikan mutu permainan yang lebih baik."