Enam pemain skuad B-23 negara adalah antara tunjang yang bakal mengisi keutamaan jurulatih skuad senior, Tan Cheng Hoe, dengan Dominic Tan dan Nik Akif Syahiran Nik Mat selaku watak tambahan.

Tiada perebutan pemain, kini Cheng Hoe tak perlu bimbang lagi, dengan pengendali itu sudah membuat perancangan awal untuk kembali mendapatkan khidmat Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syamer Kutty Abba dan Syahmi Safari selain Nik Akif dan Dominic untuk membentuk skuad lebih mantap.

"Kami sudah memiliki pasukan yang lebih baik dan berkemungkinan mendapatkan beberapa lagi pemain dalam skuad B-23," kata Cheng Hoe.

Tugasan Cheng Hoe tidak berakhir di situ. Dia telah mendapat pemain yang sepatutnya, kini skuad negara tidak boleh memberi alasan kerana setiap keperluan telah pun diberikan.

Kem latihan seterusnya akan bermula 27 Mei depan, dengan Cheng Hoe turut memberi bayangan untuk mengurangkan kelibat pemain senior.

"Kami perlu meraih kemenangan ke atas Timor Leste sebelum beraksi dalam peringkat kumpulan Piala Dunia. Peningkatan harus dipamerkan dalam skuad ini kerana ia adalah objektif yang penting," katanya.