Skuad bola sepak kebangsaan dijadual menghadapi enam perlawanan persahabatan antarabangsa 'A' sebagai persiapan menghadapi Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dari 8 November hingga 15 Disember depan.

Setiausaha Agung, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohamad Amin, berkata skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu akan menentang Fiji pada 5 Julai di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, diikuti perlawanan dengan Taiwan pada 7 September di Taipei.

Kemudian, pasukan negara akan ke Phnom Penh pada 10 Oktober bagi menentang Kemboja dan Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober sebelum perlawanan dengan Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 16 Oktober.

Hamidin berkata satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa ‘A’ turut dirancang pada 3 Nov di Kuala Lumpur tetapi pasukan lawan masih belum disahkan, iaitu sebagai ujian terakhir sebelum skuad ke Phnom Penh bagi aksi sulung Kumpulan A menentang Kemboja pada 8 November.

“Enam perlawanan persahabatan antarabangsa ‘A’ ini bakal menjadi pentas terbaik bagi memperbaiki lagi kedudukan semasa Malaysia di tangga ke-171 dalam ranking FIFA selain sebagai medan ujian buat Cheng Hoe mempersiapkan pasukannya menjelang Piala Suzuki AFF 2018 .

“Semoga perancangan teliti yang diatur ini dapat menghasilkan keputusan positif buat skuad Harimau Malaya sepanjang kempen Piala Suzuki AFF 2018. Sama-sama kita doakan supaya kejayaan cemerlang dapat diraih Malaysia dalam edisi kali ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pasukan negara diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Myanmar, Laos, Kemboja dan juara edisi 2008, Vietnam, dalam Piala Suzuki AFF Suzuki kali ini.

Untuk rekod, Malaysia menjadi juara kejohanan itu pada 2010 di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal selepas skuad negara menewaskan tuan rumah bersama, Indonesia, 4-2 secara agregat dalam dua aksi final.

-- BERNAMA