Unai Emery menghormati keputusan Henrikh Mkhitaryan untuk tidak menyertai pasukan ke Baku bagi berdepan Chelsea dalam aksi final Liga Europa walaupun pengendali itu mengakui ia berita buruk.

Walaupun pihak UEFA mengeluarkan kenyataan bakal menyediakan jaminan sistem keselamatan terbaik, Mkhitaryan terpaksa melupakan aksi Rabu depan disebabkan isu politik yang tegang melibatkan Azerbaijan dan negaranya, Armenia.

Persiapan untuk saingan pada 29 Mei itu turut ditenggelamkan oleh isu penganjuran tatkala Arsenal tidak gembira dengan pengagihan tiket perlawanan.

Ketiadaan Mkhitaryan yang tidak ke Azerbaijan ketika saingan peringkat kumpulan berdepan Qarabag tahun lalu turut memberi tamparan buat The Gunners yang berharap dapat menjulang trofi untuk layak ke pentas Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Emery, juara tiga kali Liga Europa bersama Sevilla, menegaskan keputusan itu dibuat oleh Mkhitaryan dan bukan kelab tetapi faham akan alasan pemain tengah itu.

"Ia berita buruk. Kami perlu faham masalah politik yang berlaku dan menghormatinya," ujar Emery.

"Saya bercakap dengan Mkhitaryan pagi semalam tetapi ia sangat peribadi. Dia mahu beraksi buat pasukan. Dia bercakap dengan keluarganya.

"Saya hadir daripada negara Basque dan kami juga mempunyai masalah politik. Jadi, saya faham keputusannya itu.

"Ia juga bersifat sangat peribadi. Keputusan bukan dalam tangan saya tetapi saya menghormatinya."

Emery sebelum ini mengkritik keputusan UEFA untuk mengadakan final Liga Europa di Azerbaijan dan dia sekali lagi berpendapat pengagihan tiket tidak cukup.

"Saya rasa penyokong kami mahu ke stadium bersama kami," tambah Emery selepas peminat Arsenal hanya diberikan sekitar 6,000 tiket untuk perlawanan itu.

"Mereka mahu menikmati detik itu bersama pasukan tetapi ia terlalu mahal.

"Saya lebih suka untuk berada bersama penyokong bagi mendapatkan persekitaran bersama mereka. Saya tahu Arsenal mempunyai ramai penyokong.

"Saya tahu Arsenal mempunyai penyokong di Baku dan mereka akan berada di sana tetapi kami juga memiliki peminat di London. Saya mahu mereka turut bersama kami di Baku.

"Kini, kami bakal kekurangan penyokong daripada Chelsea dan Arsenal tetapi diharapkan stadium akan penuh. Saya mahu perlawanan ini dimainkan dalam persekitaran yang hebat."