Ejen: Bale tidak gembira tapi tidak minta untuk pergi 

Oleh Staff Writer 6 Disember 2019 274
Ejen: Bale tidak gembira tapi tidak minta untuk pergi 
Ejen kepada Gareth Bale berkata pemain Wales itu tidak pernah meminta untuk meninggalkan Real Madrid walaupun dia "tidak gembira" di kelab berkenaan.

Hubungan Bale dengan peminat Madrid, barisan kakitangan kejurulatihan dan media Sepanyol menjadi semakin tegang tahun ini.

Pengurus Madrid, Zinedine Zidane, pada Julai lalu berkata ia akan menjadi "yang terbaik buat semua orang" jika Bale meninggalkan kelab itu apabila dikaitkan dengan Suning China.

Bagaimanapun, rundingan itu gagal direalisasikan dan pemain berusia 30 tahun tersebut kekal bersama pasukan LaLiga berkenaan. 

Ejen Bale, Jonathan Barnett, berkata pemain itu tidak pernah meminta untuk perpindahan keluar daripada Madrid.

"Dia tidak pernah meminta untuk pergi," Barnett memberitahu Podcast Euro Liga BBC.

"Dia mempunyai kontrak dengan Real Madrid dan selagi mereka mahukannya, tiada sesiapa yang dapat melakukannya.

"Tiada sesiapa yang pernah menuduhnya tidak memberikan komitmen 100 peratus dan Gareth Bale di tahap 100 peratus adalah salah seorang pemain terbaik di dunia. Pengurus patut berasa gembira dan bangga atas kehadirannya di atas padang. 

"Tiada jaminan bahawa dia akan pergi. Jika ada peluang yang tepat untuknya dan itu menjadi sesuatu yang dihajatinya, maka kami perlu berunding dengan presiden Real Madrid dan melihat kedudukannya."

Barnett mengakui Bale, yang telah memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara (UCL) dan LaLiga bersama Madrid, tidak gembira berada di kelab itu.

"Dia tidak gembira," tambahnya. 

"Dia terikat dengan kontrak dan selagi dia bergelar pemain Real Madrid, dia akan bermain di tahap 100 peratus -- dan melakukannya dengan baik.

"Dia mahu memenangi kejuaraan, kejohanan Eropah dan segala-galanya. Ia tidak akan menjejaskan prestasinya.

"Fakta dan angka membuktikan bahawa jika dia berada di atas padang untuk Real Madrid, maka mereka mempunyai peluang yang lebih besar untuk menang."

Bale mengibarkan sepanduk sejurus Wales mengalahkan Hungary dalam perlawanan kelayakan Euro 2020, yang menyatakan bahawa dia mendahulukan negaranya dan masanya di lapangan golf berbanding Madrid.

"Ia ditujukan kepada media kerana mereka menulis cerita yang sangat kecil dan bodoh yang dipetik daripada orang yang tidak mengenalinya," kata Barnett mengenai sepanduk 'Wales. Golf. Madrid' itu.

"Dia sebenarnya telah melakukan perkara yang hebat untuk Real Madrid sejak bertahun-tahun lalu. Dia telah berada di kedudukan itu dan membantu mereka memenangi begitu banyak perlawanan."


 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen