Mauro Icardi 100 peratus hampir pasti akan menandatangani kontrak baru bersama Inter, kata isteri merangkap ejennya, Wanda Nara.

Penyerang Argentina itu dilaporkan menarik perhatian Barcelona dan Real Madrid, namun Nara pada awal bulan ini menyatakan perjanjian baru itu masih jauh untuk dimeterai.

Bagaimanapun, ulasan terbarunya pada hujung minggu lalu disangkal Ketua Eksekutif Inter, Giuseppe Marotta, yang menyatakan kedua-dua pihak semakin hampir mencapai kata sepakat.

Bercakap kepada program Tiki Taka di Canale 5, Nara berkata: "Saya tidak tahu apa yang akan mereka katakan mengenai saya tetapi segala perbincangan sudah selesai.

"Bagi saya, kontrak baru akan dimeterai, 100 peratus. Namun, saya tidak boleh meramalkan masa depan."

Nara memiliki reputasi sebagai ejen yang sukar dirunding tetapi menegaskan bahawa dia tidak membuat tuntutan yang berlebihan yang boleh menjejaskan rundingan itu.

"Mauro tidak pernah meletakkan syarat tinggi, begitu juga saya," katanya.

"Apabila mereka menghubungi saya, kami akan duduk semeja dan mencapai kata sepakat. Masalahnya saya dikatakan menjadi dalang -- sebaliknya saya tidak meminta apa-apa pun.

"Kita boleh menghubungi (Pengarah Sukan Inter, Piero) Ausilio untuk kepastian. Icardi merupakan seorang yang telus seperti saya, itulah sebabnya saya mewakilinya."

Nara menambah: "Inter tidak menghubungi saya, telefon saya sentiasa aktif dan saya menjawab panggilan semua orang.

"Mauro sudah bersedia sepenuhnya untuk terus komited bersama kelab. Saya tidak tahu bilakah kami akan mengadakan pertemuan tetapi kami pasti akan melakukannya."

Bercakap kepada DAZN sebelum seri 0-0 dengan Sassuolo di laman sendiri Sabtu lalu, Marotta berkata: "Kami tidak meragui bahawa Mauro Icardi akan kekal di sini kerana kami gembira dengan dia, begitu juga sebaliknya. Kami hanya menunggu masa untuk kontrak ditandatangani."