Luka Jovic, Ante Rebic dan Sebastien Haller kesemuanya berkemungkinan meninggalkan Eintracht Frankfurt musim depan, akui Pengarah Sukan, Fredi Bobic.

Jovic, yang mengesahkan perpindahan ke Commerzbank-Arena secara kekal bulan lalu setelah menyerlah sejak dipinjamkan daripada Benfica pada 2017, sering dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid selepas menyumbat 27 gol dalam 48 penampilan.

Pemain antarabangsa Croatia, Rebic, pula telah disebut-sebut sebagai sasaran berpotensi buat Arsenal dan Tottenham sementara Haller juga dilaporkan turut menjadi buruan banyak pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Apa jua boleh berlaku dan tentu saja kami mungkin kehilangan ketiga-tiganya," kata Bobic kepada Bild.

"Saya boleh memberi jaminan bahawa ketiga-tiganya gembira di sini. Kecintaaan peminat merupakan faktor penting.

"Begitupun, di satu peringkat, akan ada pasukan luar yang akan membuat tawaran."

Trio tersebut membantu Frankfurt melangkah ke separuh akhir Liga Europa, namun kemerosotan prestasi pada penghujung kempen menyaksikan mereka tergelincir ke tangga ketujuh Bundesliga dan gagal meraih kelayakan Liga Juara-Juara (UCL).