Mesut Ozil harus direhatkan untuk perlawanan kedua peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 apabila Jerman bersiap menghadapi cabaran Sweden, menurut Stefan Effenberg.

Pemain tengah Arsenal itu beraksi sepenuh masa ketika juara bertahan itu tersungkur 0-1 kepada Mexico dalam kempen pembukaan Kumpulan F -- kekalahan kompetitif pertama pasukannya sejak tersingkir dalam separuh akhir Euro 2016 ketika dikalahkan Perancis 0-2.

Effenberg mempersoalkan keputusan ketua jurulatih Jerman, Joachim Low, kerana tidak mengubah percaturan pemain pada awal separuh masa kedua selain Marco Reus, justeru beliau menyeru agar tonggak Borussia Dortmund diberi peranan sejak awal ketika berdepan Sweden.

"Low harus meletakkan Ozil di bangku simpanan dan membawa masuk Marco Reus," tulis Effenberg dalam kolumnya di t-online.de. "Saya tidak faham mengapa Reus tidak bermain menentang Mexico sejak awal lagi.

"Jika apa yang dikatakan Reus selepas perlawanan itu bahawa khidmatnya diperuntukkan untuk 'perlawanan penting'. Itu memang benar, maka jurulatih telah tersalah percaturan.

"Permainan paling penting di peringkat kumpulan ini ialah menentang lawan terhandal: Mexico."

Effenberg juga menggesa supaya Ilkay Gundogan dimasukkan dalam perancangan utama bagi membantu Toni Kroos, yang dikatakan telah dirantai kemas oleh Mexico.

Menurut Effenberg lagi, pemain Juventus, Sami Khedira, yang kurang kreatif menggerakkan jentera tengah perlu dikorbankan bagi memberi laluan kepada bintang Manchester City, Gundogan.

"Kunci utama adalah dengan mengekang Kroos, tambah Effenberg. "Dia tidak dapat mempamerkan rentak biasanya.

"Khedira perlu membantu Kroos dalam kes ini, mengambil alih peranan dan mengubah tempo permainan namun dia gagal melakukannya. Oleh itu, adalah logik dia tidak lagi diturunkan menentang Sweden kerana mereka akan melakukannya dengan pendekatan yang serupa.

"Di tempat Khedira, Ilkay Gundogan harus bermain. Jerman hanya memerlukan hantaran berbahaya dari kawasan tengah -- ia sesuatu yang mereka hilang ketika bertemu Mexico.

"Gundogan adalah pemain yang boleh melakukan hantaran seperti itu."