Paulo Dybala percaya dia boleh bermain bersama "pemain terbaik dunia", Lionel Messi, untuk Argentina.

Sebelum kempen Piala Dunia bermula, jurulatih, Jorge Sampaoli, berkata kedua-dua pemain itu belum bersedia digandingkan bersama dan Dybala ditinggalkan di bangku simpanan ketika Argentina diikat 1-1 oleh Iceland dalam aksi pembukaan mereka, Sabtu lalu.

Tetapi Dybala, yang berasakan dia sudah bersedia untuk digunakan di samping Messi, mengatakan mereka perlu mencari cara untuk bekerjasama.

"Messi tiada pengganti di sini, di Barcelona atau di mana-mana di dunia. Jadi, jelas saya fikir kami boleh bekerjasama," katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

"Kami perlu memikirkan bagaimana saya akan menyesuaikan diri dengan pasukan kerana -- seperti yang anda katakan -- saya pernah bermain dalam kedudukan yang sama dan sejak kebelakangan ini, saya telah digunakan untuk bermain dalam kedudukan itu.

"Tapi jelas saya fikir kami mesti bekerjasama."

Messi jelas kesukaran menghadapi perlawanan pembukaan di Russia, termasuk sepakan penaltinya dalam babak kedua yang diselamatkan.

Tetapi Dybala berkata pasukannya perlu memanfaatkan Messi, yang sering dikalahkan di padang, bagi membuka ruang kepada pemain lain untuk bekerja.

"Kami sedar kami mempunyai pemain terbaik di dunia bersama pasukan kami. Kami mesti mengambil kesempatan daripadanya, cuba megambil kesempatan daripada setiap ruang yang dia tinggalkan dan setiap pemain yang mengawalnya," kata bintang Juventus itu.

"Kami mesti mengambil kesempatan daripada ruang itu supaya kami dapat menyerang dengan cara yang lebih baik."

Argentina akan meneruskan kempen Piala Dunia dengan menentang Croatia pada awal pagi Jumaat ini.