Bintang Juventus, Paulo Dybala, digesa oleh pengurus pasukan, Massimiliano Allegri, untuk terus meningkatkan kualiti bagi memastikan penyerang itu meraih kempen gemilang pada musim ini.

Penyerang Argentina itu dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona dan Real Madrid selepas membuktikan kredibilitinya di Turin sejak tiba dari Palermo, dua tahun lalu.

Dybala menjaringkan dua gol ketika tewas di tangan Lazio dalam aksi Piala Super Itali, minggu lalu, dan dijangka membarisi jentera serangan The Old Lady apabila melayani kunjungan Cagliari, hari ini.

Allegri tanpa berselindung memberikan amaran kepada Dybala agar meningkatkan kualiti serta sentuhannya kerana masih banyak ruang buat pemain itu untuk terus berkembang.

“Dia seharusnya melalui musim yang hebat,” kata Allegri.

“Satu kesilapan jika memikirkan bahawa Dybala tidak boleh untuk berkembang dan meningkat ke tahap tertinggi. Dia hanya perlu bekerja keras.

“Musim ini adalah musim terpenting buatnya dan dia harus membuktikan kebolehannya di setiap pertandingan domestik dan lain-lain,” tambahnya.

Penyerang berusia 23 tahun itu dihadiahkan jersi nombor 10 pada musim ini, sekaligus diharapkan mampu mengikut jejak langkah pemegang sebelumnya seperti Paul Pogba dan Alessandro Del Piero.

“Pemberian nombor jersi itu bukan satu tekanan.

“Dybala memiliki kekuatan mental yang istimewa dan dan sedar akan matlamat yang perlu dikejar,” tambah Allegri.