Mehmet Durakovic tumpang gembira dengan kejayaan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi menyumbang hatrik ketika membantu Malaysia menumpaskan Timor Leste 5-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Bagi jurulatih itu, kejayaan berkenaan membuktikan kemampuan penyerang Perak itu dalam pusingan play-off kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 itu.

Shahrel yang lebih dikenali sebagai Eky turut menyumbang satu gol ketika Harimau Malaya menumbangkan Timor Leste 7-1 dalam perlawanan pertama, Jumaat lalu.

"Saya gembira untuk Shahrel dan keluarganya berikutan kejayaannya, saya berharap dia akan terus cemerlang.

"Dia pemain muda berbakat besar, saya tidak pernah meragui kebolehannya.

"Selepas menemui sentuhan di peringkat antarabangsa, kini saya berharap dia akan meneruskan sentuhan pemusnah bersama pasukan Perak dalam baki kempen kami selepas ini, bermula dengan pertembungan dengan PJ City FC, Jumaat ini," kata Durakovic sambil memuji kejayaan anak buahnya itu.

Shahrel yang bergelut mencari rentak bersama The Bos Gaurus setakat ini baru menyumbang satu gol dalam Liga Super 2019.

Selainnya, dua lagi tonggak The Bos Gaurus dalam skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu ialah Shahrul Saad dan Kenny Pallraj.

Jurulatih itu berkata trio itu mungkin menyertai Perak di Kuala Lumpur sebaik dibenarkan bersurai oleh jurulatih pasukan kebangsaan itu.