AC Milan dan Inter semakin hampir dengan perancangan untuk merobohkan Stadium San Siro, dedah Presiden Rossoneri, Paolo Scaroni.

Lazimnya dikenali sebagai San Siro untuk daerah Milan di mana ia terletak, Stadium Giuseppe Meazza merupakan salah satu gelanggang paling ikonik dalam bola sepak Eropah.

Ia pernah menganjurkan perlawanan Piala Dunia 1990 selain menganjurkan empat perlawanan akhir Piala Eropah dan Liga Juara-Juara (UCL) dan yang terbaru adalah pada 2016, iaitu ketika Real Madrid menngecewakan Atletico Madrid 5-3 dalam penentuan penalti setelah aksi sebenar berakhir 1-1.

Di sebalik kemegahannya dalam bola sepak dunia, sudah lama San Siro dianggap memerlukan sentuhan penambahbaikan tetapi kedua-dua kelab yang berpangkalan di Milan itu sebaliknya merancang untuk membina stadium baru.

Bercakap kepada Gazzetta dello Sport, Scaroni berkata: "Segalanya berjalan lancar.

"Kami akan bersama-sama membina San Siro yang baru, bersebelahan dengan stadium yang lama. Stadium lama akan dirobohkan manakala stadium baru akan dibina."

Presiden Milan itu ditemui di Lausanne, Switzerland, menjelang pemilihan Jawatankuasa Sukan Olimpik untuk tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026, semalam.

Bandar Milan antara yang dicalonkan dan beliau mengimpikan untuk melihat stadium yang baru itu dalam majlis perasmian temasya berkenaan.

"Ia satu proses yang sangat rumit," tambah Scaroni. "Adalah menarik untuk mengadakan majlis pembukaan Sukan Olimpik di Stadium San Siro yang baru tetapi kami belum pasti lagi."

Stadium itu dibuka secara rasmi pada tahun 1926 dengan hak tuan rumah diberikan kepada Milan sebelum berkongsi dengan Inter sejak 1947.