Dua pemain Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) menyifatkan peluang menyertai program Asian Eleven, termasuk beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Jepun baru-baru ini merupakan satu pengalaman berharga yang kekal terpahat dalam ingatan mereka.

Ali Imran Sukari, 17, mengakui banyak pengalaman berharga diraihnya sepanjang berada di Negara Matahari Terbit itu, termasuk mempelajari budaya masyarakat Jepun serta teknik bola sepak moden daripada pemain amatur di negara berkenaan.

“Selain mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih Liga Jepun, saya turut berpeluang beraksi bersama pemain negara ASEAN lain seperti Myanmar dan Thailand.

"Namun, saya berdepan masalah komunikasi memandangkan segelintir peserta program ini tidak boleh berbahasa Inggeris,” katanya dalam sidang media mengenai program Asian Eleven di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, hari ini.

Berkongsi pandangan sama, Harith Haiqal Adam Afkar, 17, menjelaskan banyak pengalaman berharga yang diraihnya sepanjang berada di negara itu, termasuk menyertai pelbagai rutin harian masyarakat di sana.

Sementara itu, Pengarah Pusat Yayasan Jepun Asia, Shimada Seiya, berkata program Asian Eleven itu merupakan sebahagian daripada inisiatif mereka untuk mempromosikan pertukaran budaya di antara negara ASEAN dan Jepun melalui bola sepak yang berupaya menghubungkan manusia.

“Kami akan anjurkan program seumpama ini di salah sebuah negara ASEAN di masa hadapan dan kami akan umumkannya selepas ia diputuskan,” ujar Shimada.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal, pula menyifatkan program itu sebagai satu usaha terbaik buat bola sepak Malaysia bagi menarik minat pasukan luar di samping belajar kebudayaan baharu negara lain.

Ali Imran dan Harith Haikal merupakan antara 21 pemain dari 11 negara ASEAN yang dipilih JAFC untuk menyertai program Asian Eleven yang berlangsung pada 13-23 Jun di Fukushima, Jepun.

Kemuncak program merupakan perlawanan persahabatan (JapaFun Cup) di antara Asian Eleven menentang bawah 18 pilihan Tohoku yang mana pasukan Asian Eleven menang 5-4 dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 tanpa jaringan selepas tamat masa perlawanan.

-- BERNAMA