PARIS SAINT-GERMAIN 1 GUINGAMP 2

Dominasi Paris Saint-Germain (PSG) dalam Coupe de la Ligue tamat secara dramatik selepas juara bertahan itu tewas 1-2 kepada Guingamp dalam aksi suku akhir di Parc des Princes, Paris, awal pagi tadi.


Selepas gagal dalam sepakan penalti pertama, Marcus Thuram menebus aib itu ketika menjaringkan gol kemenangan Guingamp pada minit ke-93.

PSG, selaku juara bertahan dalam lima edisi terdahulu, berada di depan pada minit ke-62 selepas Neymar menjaringkan gol pendahuluan seminit selepas Thuram gagal menjaringkan sepakan penalti pertama.

Namun, pemain gantian, Yeni N'Gbakoto, kembali mengikat kedudukan menerusi sepakan penalti pada sembilan minit terakhir perlawanan.

Skuad kendalian Thomas Tuchel itu kemudian sah tersingkir ketika Thuram menebus kesilapan awalnya pada saat-saat akhir perlawanan.

Aksi dalam babak pertama menyaksikan Guingamp kental bertahan menafikan usaha awal yang dilakukan PSG, antaranya menerusi Kylian Mbappe pada minit ketiga.

Situasi itu memaksa Tuchel memasukkan Marco Verratti dan Edinson Cavani selepas waktu rehat dan percaturan itu memberikan hasil segera dengan tandukan Cavani hampir menewaskan Karl-Johan Johnsson.

Detik menarik bermula ketika Thomas Meunier -- yang menjatuhkan Ludovic Blas dan memberikan sepakan penalti yang gagal disudahkan Thuram -- melakukan hantaran lintang menarik yang ditanduk kencang Neymar dari jarak 12 ela untuk menjaringkan gol pendahuluan tuan rumah.

Bagaimanapun, gerakan sambil lewa daripada gandingan Cavani dan Moussa Diaby menghalang PSG melebarkan kedudukan itu.

PSG harus menyalahkan diri sendiri terhadap kepincangan yang bermula pada minit ke-81.

Juan Bernat mengasari Marcus Coco dan N'Gbakoto mudah menewaskan Alphonse Areola daripada sepakan penalti.

Thuram kemudian mengejutkan penyokong di Paris itu apabila melengkapkan kebangkitan menakjubkan Guingamp dan menebus kembali maruah dirinya selepas menjaringkan gol penalti selepas dikasari Thilo Kehrer pada penghujung perlawanan.