Skuad Dream Team dari Akademi Tunas Kuantan, Pahang membuktikan kehebatan apabila mengalahkan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan (MSSK) 3-0 dalam final Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Piala Global Yakult Zon Timur di Padang Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, petang tadi.

Mohd Iman Nazihin Zamzuri muncul wira Dream Team apabila dua jaringannya (m-5) dan (m-20) sudah cukup memberi tekanan kepada pemain MSS Kelantan.

Satu lagi gol dihasilkan melalui rembatan cantik Zulhaikal Hamidi pada minit ke-25 untuk mengesahkan kejuaraan Dream Team dalam edisi sulung ini.

Lebih membanggakan apabila kapten Dream Team, Zamil Zaqwan Samsulkama, dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan.

Ketua jurulatih Dream Team, Zairuddin Jilan, memuji persembahan pemainnya dan menyifatkan mereka berhak menjuarai kejohanan Zon Timur ini selepas memberikan aksi terbaik sejak aksi peringkat kumpulan lagi.

"Alhamdulillah, semua pemain beraksi dengan semangat juang yang tinggi dan rezeki berpihak kepada kami untuk memenangi kejohanan ini.

"Tahniah juga kepada pasukan lawan yang memberikan saingan hebat dan kami akan beraksi lagi dalam pusingan akhir di Bukit Jalil nanti," katanya.

Untuk rekod, kejohanan bawah 12 tahun tajaan Yakult ini menampilkan 16 pasukan yang dibahagikan kepada empat kumpulan.

Empat pasukan terbaik Zon Timur ini akan beraksi lagi dalam pusingan akhir Piala Global Yakult yang akan diadakan di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil 27 Julai ini.

Keputusan Penuh:

Johan: Dream Team (Pahang)
Naib Johan: MSSK (Kelantan)
Ketiga: Pahang Cougars
Keempat: Nasrom Group (Kelantan).