Penggantungan Paul Pogba untuk aksi timbal balik pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) akan memberikan kelebihan kepada Paris Saint-Germain (PSG), kata Julian Draxler.

Pogba dibuang padang ketika menuju masa kecederaan menentang PSG, semalam.

Akibatnya, bintang United itu -- yang mengutip kad kuning kedua ekoran terjahan ke atas Dani Alves -- akan terlepas kunjungan ke Paris, 7 Mac depan.

Justeru, Draxler dan PSG, yang meraih kemenangan 2-0, gembira melihat pemenang Piala Dunia 2018 itu akan menjadi pemerhati sahaja bagi pertembungan bulan depan.

"Paul adalah pemain terbaik Manchester United," katanya. "Dia pemain yang cukup penting buat pasukan lawan dan anda boleh nampak kehebatannya (semalam).

"Itulah sebabnya kami sangat gembira bahawa dia tidak akan bermain dalam pertemuan kedua.

"United bermula dengan baik dan memberikan tekanan hebat kepada kami tetapi dalam babak kedua, kami lebih yakin dan Man United pula mengendurkan tekanan.

"Ia membantu kami untuk meningkatkan permainan sehingga kami berjaya menemui beberapa ruang dan kami menggunakannya dengan baik dan itulah sebabnya kami menang."

United kalah buat julung kalinya di bawah kendalian pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer, selepas mengharungi 11 perlawanan tanpa kalah sejak mengambil alih jawatan itu Disember lalu.

PSG turut menghadiahkan United kekalahan pertama di peringkat Eropah musim ini melalui sentuhan berbisa Presnel Kimpembe dan Kylian Mbappe.