Penjaga gol skuad bawah 21 tahun Itali, Gianluigi Donnarumma, dihujani wang palsu yang dicampak oleh penyokong AC Milan yang berang dengan keputusannya untuk tidak menandatangani kontrak baru ketika beraksi dalam perlawanan Itali menentang Denmark, semalam.

Donnarumma menjadi tumpuan media selepas ejennya, Mino Raiola, mengesahkan penjaga gol berusia 18 tahun itu tidak akan menyambung kontrak sedia ada yang bakal tamat pada musim panas 2018.

Peminat Milan di Poland mempamerkan kain rentang bertulis 'Dollarumma' ketika Itali menentang Denmark dalam saingan peringkat kumpulan kejohanan EURO B-21 di Krakow sebagai tanda protes dan tidak setuju dengan keputusan pemain itu.

Perkara itu menyebebkan pengadil perlawanan tidak mempunyai pilihan selain memberhentikan perlawanan buat seketika untuk membersihkan padang.

Skuad muda Azzurri berjaya memenangi perlawanan 2-0 hasil gol daripada Lorenzo Pellegrini dan Andrea Petagna.