Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin, mengakui bukan mudah untuk menempatkan diri dalam skuad bimbingan Bojan Hodak meskipun pernah merangkul gelaran penjaring terbanyak ketika saingan AFC B-16, tahun lalu.

Bagi Luqman, gelaran itu bukan jaminan untuknya berada dalam senarai akhir 23 pemain ke Kejohanan AFF dan kelayakan AFC B-19, malah akur dia perlu menggandakan usaha.

Luqman menganggap peluang dipanggil untuk menyertai skuad B-19 negara sebagai motivasi terbaik untuknya mencipta nama di persada bola sepak negara.

Skuad B-19 kebangsaan sedang menjalani latihan pusat fasa kedua sebagai persediaan menjelang Kejohanan AFF pertengahan tahun ini.

"Saya tidak katakan yakin tetapi perlu berusaha sehabis baik. Saya akan cuba ke tahap maksimum. Saya ingin membina keyakinan serta tahap kecergasan selain bekerjasama sebagai satu pasukan," kata Luqman.

Sementara itu, Hodak berkata Luqman perlu memperbaiki tahap kecergasannya jika mahu dikekalkan dalam skuad B-19.

"Dia merupakan penjaring terbaik B-16 tetapi ini skuad B-19. Anda perlu lupakan semua yang anda capai sebelum ini. Mungkin dia akan berdepan masalah daripada segi fizikal tetapi jika anda cukup bagus, anda mampu melakukannya," ujar Hodak.