Di Francesco kesal Roma benarkan Porto bawa pulang bekalan gol 

Oleh Staff Writer 13 Februari 2019 352
Di Francesco kesal Roma benarkan Porto bawa pulang bekalan gol 
ROMA 2 PORT0 1

Eusebio Di Francesco berasakan Roma tidak meraih keputusan yang adil selepas membenarkan Porto menyumbat gol pada lewat permainan dalam pertemuan pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL). 


Nicolo Zaniolo meledak dua gol dalam tempoh enam minit separuh masa kedua untuk meletakkan tuan rumah dalam kawalan di Stadio Olimpico awal pagi tadi, namun Porto bernasib baik untuk mengurangkan defisit gol. 

Percubaan jarak jauh Tiquinho Soares secara tidak sengaja menemui Adrian Lopez bagi menjaringkan gol untuk perlawanan berkesudahan 2-1 dan menyebabkan perasaan Di Francesco bercampur-baur. 

Pengurus Roma itu segera memuji kesungguhan tinggi barisan pemainnya berikutan mencatat keputusan tidak menentu kebelakangan ini, yang bermakna mereka hanya memiliki kelebihan tipis untuk dibawa dalam aksi timbal balik pada 6 Mac depan. 

"Keputusan perlawanan ini terlalu buruk biarpun saya memuji sikap dan tumpuan yang ditunjukkan pemain saya dalam kedua-dua babak," kata Di Francesco kepada Sky Sport Italia.

"Banyak aksi yang memberangsangkan dalam perlawanan ini. Kami tahu apa yang mahu dilakukan dan kami melakukannya pada masa yang tepat. Kami kerap mencetuskan ancaman terhadap lawan sambil tidak memberikan banyak ruang kepada mereka. 

"Sayang sekali mengenai jaringan Porto itu kerana ia bukannya berpunca daripada kesilapan kami. Pemain saya telah berusaha dengan baik dalam segala segi -- memang akan ada kesilapan dan ia tidak boleh dielakkan.

"Kami berhak menang dengan kelebihan dua gol, itulah penyesalan kami tetapi saya berpuas hati dengan tahap prestasi tinggi ini."

Tonggak muda, Zaniolo, membuka jaringan dengan rembatan kaki kanannya untuk melepasi jangkauan Iker Casillas dan menjadikan kedudukan 2-0 dengan menolak masuk lantunan daripada percubaan Edin Dzeko yang terkena tiang. 

"Saya fikir pemain muda sepertinya harus diberi ruang untuk berkembang," kata Di Francesco ketika ditanya mengenai wira dua gol Roma itu.

"Saya berpesan kepadanya agar meneruskan corak permainannya kerana bimbang jaringan boleh menjejaskan tumpuan dan semangatnya. Sebaliknya, dia bukan sahaja terus fokus, malah menjaringkan gol kedua.

"Kami memiliki ramai pemain berbakat besar dan kami sangat gembira memilikinya di sini."

Berbeza pula dengan rakan sejawatannya, pengurus Porto, Sergio Conceicao, berasakan pasukannya lebih layak meraih keputusan seri untuk dibawa ke Lisbon.

"Dalam babak kedua, kami mempunyai peluang daripada Danilo Pereira tetapi pada detik terbaik itu, kami pula dibolosi," kata bekas pemain Lazio itu kepada media.

"Jaringan kedua mereka agak pelik tetapi kami tidak berhenti dalam usaha memburu gol. Pemain bertindak balas seperti yang saya harapkan menerusi karakter, personaliti dan mereka sedar bahawa masih ada 90 minit lagi untuk berjuang. 

"Jaringan kami membuatkan aksi timbal balik lebih terbuka, namun keputusan seri adalah lebih adil untuk hari ini," katanya. 

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen