Didier Deschamps akan berwaspada dalam menangani beban tugas penggempur AS Monaco, Kylian Mbappe, biarpun pemain remaja itu bersedia untuk memulakan permainan bersama Perancis.

Mbappe sekadar menjadi pemerhati ketika Perancis menumbangkan Paraguay 5-0 dalam aksi pemanas badan, Jumaat lalu, berikutan kecederaan ringan di bahagian paha semasa mewakili kelabnya.

Deschamps memberi isyarat dia akan mengehadkan penyertaan Mbappe berdasarkan pembabitannya dalam perlawanan, menjelang pertemuan Perancis dengan Sweden dalam kelayakan Piala Dunia, hujung minggu ini.

"Kalau anda tanya dia, sudah tentu dia akan cakap dia bersedia. Dia berkemampuan untuk diturunkan dalam skuad utama, dia pernah melakukannya ketika bertemu Sepanyol," kata Deschamps kepada pemberita.

"Dia sudah membuktikannya bersama kelab, dalam Ligue 1 dan Liga Juara-Juara bahawa dia mampu beraksi dan berbisa. Begitu juga ketika bersama kami.

"Saya akan mengurusnya sama seperti pemain lain. Dia harus belajar untuk menyesuaikan diri dan mengurus latihan. Saya lebih senang untuk menenangkannya berbanding untuk menggesanya."

Giroud merupakan pilihan utama untuk mengetuai jentera serangan Perancis ketika berdepan Sweden selepas melakar hatrik ketika bertemu Paraguay, dan Deschamps mempertahankan penyerang itu daripada kritikan.

"Kami sudah berbincang, ada perkara yang boleh dikawalnya: apa yang boleh dilakukannya di atas padang," ujar Deschamps.

"Selepas itu, ada elemen lain dalam permainan.

"Dia tahu keupayaannya. Dia tahu saya memiliki keyakinan ke atasnya, saya memberitahunya selepas pertemuan dengan Paraguay.

"Wujud kritikan yang diperbesarkan. Ada masanya saya mendapati ia adalah tidak adil. Jika anda meminta Olivier untuk menggelecek tiga pemain pertahanan, itu bukan caranya.

"Dia akan terus membuktikan kemampuannya dan perlu melakukannya pada masa akan datang. Satu-satunya cara untuk memadam kritikan adalah dengan terus memberikan persembahan hebat."