Didier Deschamps berkata masa depannya kekal bersama skuad kebangsaan Perancis walaupun wujud dakwaan mengaitkannya untuk bergelar pengurus Juventus yang seterusnya.

Juara Serie A itu mula mencari pengganti Massimiliano Allegri selepas dia mengumumkan akan meninggalkan Juve penghujung musim ini.

Deschamps yang mengemudi Perancis menjuarai Piala Dunia di Russia tahun lalu kini dilaporkan muncul selaku salah seorang calon untuk memegang jawatan di Turin itu.

Namun, ketika sidang media semalam, pengendali berusia 50 tahun itu menolak spekulasi ke kelab yang dibimbingnya ketika musim 2006-07 itu.

"Soalan sebegini, apa yang boleh saya katakan?" katanya.

"Situasinya amat jelas. Minda dan tenaga saya fokus untuk kelayakan Euro 2020 dan diharapkan Perancis akan dapat beraksi nanti.

"Memang indah apabila kelab besar bercakap mengenai saya dan Juventus merupakan salah sebuah daripadanya.

"Namun, masa depan saya bersama skuad Perancis. Tiada keraguan mengenainya."

Masa depan bintang Perancis, Kylian Mbappe, turut menjadi tajuk utama selepas penggempur itu memberi bayangan akan meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG).

Mbappe dilaporkan menjadi sasaran Real Madrid tahun lalu dan pemain berusia 20 tahun itu sekali lagi dikaitkan dengan gergasi LaLiga tersebut selepas menyatakan dia tertarik dengan 'projek baru'.

"Terkejut? Dalam dunia hari ini, tiada apa yang mengejutkan saya," tambah Deschamps ketika ditanya mengenai kenyataan Mbappe.

"Maklumat sentiasa didedahkan. Saya tidak gemar bercakap mengenai apa yang diperkatakan oleh pemain, sama ada dia mereka dalam pasukan saya atau tidak. Saya akan berpeluang untuk bercakap dengan Mbappe sewaktu kami berkumpul dan saya juga mahu melakukannya bersama pemain lain.

"Ia sebegitu. Hari ini mungkin tentang dia dan satu hari nanti mengenai pemain lain. Sudah tentu apabila ia melibatkan Mbappe, ia menjadi lebih besar dan penting."