Pengendali Perancis, Didier Deschamps, gembira untuk memberikan Antoine Griezmann dan Paul Pogba pendapatnya mengenai masa depan tetapi melaungkan amaran bahawa mereka perlu membuat pilihan tepat dalam karier.

Penggempur Atletico Madrid, Griezmann, mengesahkan minggu lalu bahawa dia cuba untuk meninggalkan Wanda Metropolitano pada penghujung musim ini walaupun baru sahaja bersetuju dengan kontrak baru selama lima tahun pada 2018.

Dalam masa sama, Pogba dikaitkan dengan perpindahan ke kelab LaLiga, Real Madrid, selepas melalui musim sukar bersama Manchester United.

Deschamps -- yang menamakan kedua-dua pemain itu dalam skuadnya menjelang aksi persahabatan berdepan Bolivia serta saingan kelayakan Euro 2020 menentang Turki dan Andorra bulan depan -- memberikan anak didiknya itu pandangan tetapi tidak mahu mereka melakukan kesilapan dalam membuat keputusan.

"Pemain membuat pilihan, saya tiada di sana untuk memberi nasihat," kata Deschamps.

"Saya di sini hanya memberikan pandangan tetapi segalanya terserah kepada mereka. Ia bergantung kepada karier, khalayak serta keluarga mereka.

"Kebanyakannya bertanya tentang pendapat saya. Mereka boleh menggunakannya atau tidak, ia bukan pilihan saya.

"Apa yang penting adalah mereka membuat keputusan penting dan tepat. Namun, kadangkala anda berfikir bahawa ia pilihan bagus untuk menyertai kelab. Mudah untuk bercakap berdasarkan fakta. Ia sama ada bagus atau buruk."

Walaupun Pogba menerima kritikan susulan persembahan di sepanjang musim, dia menamatkan kempen 2018-19 dengan 13 jaringan liga dan sembilan bantuan gol -- yang melebihi semua pemain United -- dan meraih tempat dalam Pasukan Terbaik Tahunan PFA.

Deschamps percaya orang ramai pantas mencari kesalahan terhadap pemain berusia 26 tahun itu dan berkata dia memberikan lebih daripada sekadar jaringan.

"Saya harap anda menonton semua permainannya dalam Liga Perdana Inggeris," tambah Deschamps.

"Kami melihat Pogba ketika menjaringkan gol atau menghasilkan bantuan jaringan tetapi dia bukan sekadar itu. Bersama kami, dia kurang menyumbat gol tetapi sentiasa menjadi pemain penting.

"Satu musim berakhir dalam 10 bulan dan pemain tidak mampu berada di tahap terbaik. Bersama Perancis, dia tahu saya meminta perkara berbeza kerana kami mempunyai sebuah pasukan dan dia menjalankan tugas dengan baik."