Pengendali Perancis, Didier Deschamps, berharap agar peminat bertenang selepas Paul Pogba dicemuh ketika aksi persahabatan bertemu Itali yang diakhiri dengan kemenangan 3-1 buat Les Bleus.

Walaupun jaringan Samuel Umtiti, Antoine Griezmann dan Ousmane Dembele membolehkan Perancis menang selesa di Nice, awal pagi tadi, sesetengah penyokong bersiul ketika Pogba digantikan di penghujung perlawanan.

Pemain Manchester United itu tampak tidak mampu menandingi persembahan yang dipamerkan gandingan penyerang, iaitu Griezmann, Dembele dan Kylian Mbappe, namun Deschamps berpendapat bahawa penyokong meletakkan harapan terlalu tinggi buat pasukannya.

"Siulan itu hanya untuk Pogba? Saya rasa tidak kerana ada ketika pemain lain memegang bola dan turut menerima nasib sama," kata Deschamps.

"Peminat mengharapkan kami untuk menyumbat lima atau enam gol tetapi kami berdepan pasukan yang bertaraf tinggi. Pemain-pemain telah menjalankan tugas dengan baik.

"Sama ada ia akan memberi kesan kepada pemain atau tidak, saya tidak pasti tetapi saya akan melupakannya," ujarnya.

Walaupun persembahan di Nice tidak menggembirakan penyokong, Perancis mampu untuk meraih kemenangan lebih besar setelah melihat rembatan N'Golo Kante dan Dembele masing-masing terkena tiang dan palang gol.

"Kami lebih banyak menyerang dalam babak kedua, mencipta lebih banyak peluang.

"Pemain-pemain menunjukkan kekuatan mental yang diperlukan tetapi kami tidak akan berpuas hati dengannya. Ujian terakhir bakal menanti kami selepas ini.

"Kami harus memastikan kelompok pemain ini sentiasa memiliki kemahuan dan keinginan yang tinggi. Kami tidak melakukannya dengan sempurna tetapi kehendak tetap ada," tambah Deschamps.